Pejam celik pejam celik (Alhamdulillah masih dapat celik) dah 12 tahun berlalu. Rasa macam baru beberapa tahun, tapi kenyataannya dah 12 tahun berlalu.
15 Julai 2009 - 15 Julai 2020. Masa yang tercatat dalam sijil kematian, tepat pada pukul 11.15 pagi di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Ya, hari ini cukup 12 tahun pemergian arwah mak aku. Kalau bulan Julai ini, memang banyak kematian yang berlaku dalam keluarga dan sanak saudara aku. Tapi ada yang aku ingat dan kenal, dan ada yang aku tak ingat, tak kenal tapi dengar kakak dan abang aku bercerita. Yang bezanya, tahun meninggal sahaja.
Pergi yang tak akan kembali. Perpisahan yang kekal abadi. Walaupun pada permulaan susah nak terima, tapi lama-lama tetap kena redha. Allah lebih sayangkan arwah mak aku. Walaupun 11 tahun 7 bulan sahaja dapat membesar bersama sama arwah mak, itupun sudah cukup membahagiakan.
Ada yang jauh bernasib malang daripada aku, ada yang tak sempat nak membesar bersama sama ibunya, mungkin sebab ibunya meninggal ketika bersalin dan sebagainya. Apa-apapun, kita yang masih hidup tetap kena redha dengan takdir yang telah Allah tetapkan di Loh Mahfuz lagi.
Sebetulnya arwah mak dah nazak hari Sabtu malam Ahad sebelum 15 Julai 2009, tapi masih dipanjangkan umur untuk beberapa hari. Mungkin bagi peluang kepada sanak saudara yang duduk jauh untuk pulang ziarah arwah mak buat kali terakhir? Aku pun tak pasti huhuhu.
Masa arwah mak nazak hari Sabtu malam Ahad, kami sekeluarga tak tidur. Memang masa itu, orang cakap, nyawa arwah mak dah berada di hujung hujung dah. Tapi aku dengan kakak ketiga dah mengantuk macam apa, dah tersengguk sengguk di kaki arwah mak, tapi tak boleh tidur. Campur dengan menangis lagi, mata bengkak tak payah cakaplah. Baca yassin pun dah tak berapa betul sebab tersedu sedu akibat menangis.
Ayah dan abang kakak aku yang lain marah kalau kami tidur sebab mungkin itu peluang terakhir yang ada untuk kami bersama arwah mak. Sampailah pukul tiga atau empat pagi, tiba-tiba arwah mak macam sedar sepenuhnya. Macam tiba tiba sihat. Memang rasa lega gila bila tengok arwah mak dah bernafas macam biasa.
Hari Ahad, Isnin, Selasa, kami bagi apa saja yang arwah mak nak makan. Makanan yang memang dia pantang sepanjang dia sakit, kami bagi saja makan. Biarlah, sebab arwah mak memang dah lama nak makan. Dan kami tak pasti berapa lama lagi arwah mak dapat bertahan.
Hari Rabu, arwah mak nak sangat pergi jumpa ustaz yang biasa dia jumpa. Pagi pagi buta lagi dah pergi. Aku tak ikut sebab nak pergi sekolah, tak sangka pula itu hari terakhir arwah mak aku akan hidup. Aku celik sekejap saja mata pagi itu, nampak arwah mak tengah duduk atas kerusi roda, kakak sulung aku tengah siapkan arwah mak pagi itu.
Dipendekkan cerita, arwah mak meninggal di hospital. Abang kedua aku datang jemput aku di sekolah. Tengah belajar, tiba tiba kerani sekolah cakap ada orang nak jumpa aku. Aku pelik, siapalah nak jumpa aku kan? Kemas beg sekolah, keluar pintu kelas, dari jauh nampak abang kedua aku tengah berdiri sambil bercakap dengan guru penolong kanan kalau tak silap aku.
Masa dalam kereta, baru abang aku beritahu, arwah mak dah tak ada. Menangis? Itu pasti. Takkan bergembira pula kan? Hahaha. Sampai rumah, tukar baju, kemas rumah dan apa-apa yang patut, tunggu arwah mak sampai dari hospital. Dalam sejam lebih juga rasanya perjalanan dari hospital ke rumah aku pada masa tu.
Part paling tak boleh tahan masa nak cium arwah mak buat kali terakhir. Ayah pesan, jangan jatuhkan air mata. Like susah weh! Memang tengah menangis kot masa tu, nampak arwah mak berbalut serba putih, mahu tak menangis? Tapi berjaya juga cium tanpa jatuhkan air mata walaupun puas seka air mata daripada menitik.
Punca kematian?
Advanced Ovarian Cancer Stage IV with Lung and Bowel Metastasis
Kanser Ovari Tahap Empat dengan paru paru dan usus. Kanser ovari tahap empat bermaksud barah dah merebak ke organ tubuh lain yang agak jauh dari ovari iaitu hati atau paru paru.
Sumber: Cancer Research UK
Macam aku pernah beritahu sebelum ini, arwah mak dah dua kali melakukan pembedahan dan 18 kali kimoterapi. Kalau tak silap aku 18 kali, tapi memang banyak kalilah arwah mak buat kimoterapi. Kepala botak itu perkara biasa hahaha. Buat nestum panas sikit pun kena marah HAHAHA. Tapi kita kena faham, orang sakit ini memang dah tak fikir benda lain dah selain penyakit yang ada pada dirinya. Dan mungkin, fikir anak-anak.
Arwah mak bertahan selama tujuh tahun atas sebab nak tengok anak anak membesar. Yang dah besar tak risau mana sebab dah reti jaga diri, yang kecil kecil macam aku, kakak ketiga dan abang keempat masih kategori remaja. Masih memerlukan perhatian seorang ibu. Jadi, mungkin sebab itulah arwah mak berjaya juga bertahan selama tujuh tahun walaupun doktor sendiri cakap arwah mak hanya mampu bertahan sekejap sahaja bila arwah mak mula dikesan menghidapi penyakit kanser ovari tahap empat.
Arwah mak cik aku pun meninggal sebab kanser, kalau tak silap aku kanser antara lapisan perut. Kanser yang agak rare kalau tak silap aku. Bertahan dalam beberapa bulan sahaja. Tapi arwah mak cik baru lagi meninggal, kalau tak silap tahun 2015.
Kubur yang sudah lama tak diziarahi. Last aku pergi kubur, raya tahun lepas. Tahun ini raya tak boleh rentas daerah, jadinya tak boleh nak ziarah. Tapi tak apa, janji jangan lupa kirimkan doa untuknya yang berada di alam sana.
Tak cabut rumput sebab orang cakap biarlah, rumput akan doakan untuk orang yang berada di dalamnya. Betul tak? Tapi kalau rumput panjang sangat, cabut juga sikit sikit, tapi tak adalah bagi clear terus. Ada tinggal sikit sikit.
Rindunya ya Allah. Rasa nak peluk lama lama arwah mak. Nak cakap, adik sayang sangat sangat dekat ma. Ma yang sangat baik, yang sempurna di mata adik. Maaf ya, terluah perasaan sekejap.
Aku selalu pesan, siapa yang masih ada mak ayah itu, peluk cium lah puas puas, biar mak naik rimas. Sebab nanti bila mereka dah tak ada, dah tak boleh peluk cium dah. Jadi, cepat peluk cium mak ayah sekarang ini hehehe.
Dan pada kesempatan ini, aku nak minta yang baca entri ini untuk sedekahkan Al Fatihah untuk arwah mak aku yang bernama Hasfiah Othman.
Al Fatihah Hasfiah Othman,
29 Disember 1954 - 15 Julai 2009
Rindu itu pasti.
Satu nama tetap tersemat dihati, tetap terlakar indah di sanubari, tetap kukenang sampai ke mati, tetap kusayang sepenuh hati, walaupun jasadmu sudah bersemadi, walaupun dirimu sudah tiada lagi, kerana dirimu tiada pengganti 💛
Social Icons